TikTok kini melarang kandungan yang mempromosikan skim piramid dan Multilevel Marketing (MLM).

Kemas kini garis panduan komuniti itu meminta pengguna untuk tidak menyiarkan atau berkongsi kandungan yang menggambarkan atau mempromosikan skim Ponzi, MLM atau skim piramid. Menurut TikTok,

“We do not permit anyone to exploit our platform to take advantage of the trust of users and bring about financial or personal harm.”

Kandungan lain yang didapati mempunyai unsur penipuan bagi mendapatkan keuntungan kewangan atau peribadi yang melanggar garis panduan juga akan dipadam dari platform itu.

Jika dilihat kembali, banyak penjual MLM, skim ponzi atau piramid ini menggunakan platform seperti Facebook dan laman media sosial lain untuk merekrut pengedar bebas.

Terdahulu, kita telah dikejutkan dengan kehadiran iSharefans yang begitu viral dan diperkatakan di seluruh media sosial, terutamanya dalam kalangan pengguna Malaysia. Melalui iSharefans, pengguna dikatakan mudah menjana kewangan hanya dengan melakukan tugasan-tugasan ringkas seperti like dan juga share.

Namun kini, laman web iSharefans tidak lagi dapat diakses dan sudah senyap begitu sahaja.

Sumber: TikTok via Business Insider