Jika kita ada iOS vs Android, Intel vs AMD, PC vs konsol, permainan video game juga mempunyai sebegitu. Antara ‘pergaduhan’ yang sentiasa terjadi dalam komuniti gaming adalah FIFA vs PES (Pro Evolution Soccer).

Masing-masing mempunyai peminat yang tersendiri dan kini, pembangun PES atau Winning Eleven, iaitu Konami secara rasminya ‘membunuh’ siri PES dan menggantikannya dengan eFootball.

Apa yang menariknya, bukan setakat nama permainan dijenamakan semula, ia juga menawarkan permainan percuma (free-to-play) seperti mana permainan di telefon pintar mahupun di komputer.

Permainan ini dibangunkan menggunakan enjin Unreal Engine 4 dan akan dilancarkan sekitar September bermula dengan platform PS4, PS5, Xbox Series X|S, Xbox One dan Steam. Kemudian, iOS dan Android menyusul.

Melalui penawaran di semua platform, Konami juga mengatakan ia akan menyokong permainan rentas platform (cross-play). Bermakna, pemain PC boleh berlawan dengan pemain PS5 atau pemain mobile.

Menurut penerbitnya melalui IGN, mereka menyasarkan sebuah game yang akan sentiasa menerima kemas kini setiap musim berbanding sebelum ini yang perlu membelinya setiap tahun.

Perlawanan biasa yang menampilkan kelab FC Barcelona, FC Bayern, Manchester United dan 6 kelab lain boleh dimainkan secara percuma. Manakala mod lain akan ditawarkan dalam bentuk DLC (Downloadable Content).

Bagaimanapun, Konami tidak berkongsi maklumat mengenai mod popular seperti Master League, Become A Legend atau MyClub dimuatkan dalam permainan eFootball.

Walau apa pun, adakah anda bersetuju dengan pendekatan Konami ini atau anda lebih gemar permainan FIFA dari EA yang mana perlu membelinya setiap tahun bagi mendapatkan ‘kandungan baharu’.

Sumber: Konami

Baca juga artikel berkaitan: