The Game Awards 2020 merupakan anugerah tahunan untuk industri permainan keseluruhan termasuk PC, konsol dan platform mudah-alih.

Untuk kategori Best Mobile Game atau permainan mudah-alih terbaik, Among Us telah ditabalkan sebagai pilihan utama kategori ini.

Among Us yang dibangunkan InnerSloth mencapai populariti pantas hanya pada tahun 2020 walaupun permainan ini sebenarnya diumumkan tahun 2018 lalu.

Permainan ini mempunyai grafik yang ringkas tetapi keseronokan utamanya adalah ketika bermain yang bergantung kepada tipu daya dan kelicikan pemain untuk menyelesaikan objektif.

Pada masa yang sama, Among Us telah mengalahkan Call of Duty: Mobile, Genshin Impact, Legends of Runeterra, dan Pokémon Café Mix untuk kategori sama.

Selain memenangi anugerah permainan mudah-alih terbaik, Among Us turut menggungguli kategori Best Multiplayer mengalahkan permainan berprestij lain seperti Animal Crossing: New Horizons, Call of Duty: Warzone, Fall Guys, dan Valorant.