Tentu sudah ramai maklum, telefon Huawei kini masih lagi belum dimuatkan dengan servis GMS; servis yang membolehkan aplikasi-aplikasi dari Google seperti Google Meet, Google Classroom, Gmail dan lain-lain; biarpun Amerika sudah bertukar presiden baru-baru ini.

Sudahlah pula PKP, maka ramailah berpusu-pusu membeli telefon atau tablet Huawei tanpa menyedari servis GMS tidak tersedia di dalam peranti pintar mereka.

Ketiadaan GMS di dalam peranti Huawei ini jugalah yang menyebabkan peranti-peranti (terkecuali peranti kelas atasan) dijual dengan harga yang lebih murah oleh pekedai lantas menjadikan ia antara telefon yang laku di Shopee dan Lazada.

Namun ada dua cara yang boleh anda gunakan untuk ‘mendapatkan’ khidmat-khidmat aplikasi dari Google biarpun telefon anda bernama Huawei.

1 – Gunakan Huawei Quick App Center

Quick App Center adalah aplikasi dari Huawei yang mana akan menukarkan laman-laman web kepada PWA (Progressive Web Application) yang mana ia boleh beroperasi seakan-akan aplikasi di telefon Android. RIngkasnya, apa yang anda dapat sebenarnya adalah laman web, tetapi dibuang ruangan ‘address bar’ supaya kelihatan seperti aplikasi dan diletakkan di skrin utama telefon anda.

Solusi ini boleh digunakan tetapi agak tidak efisyen kerana laman web selalunya tidak dioptimumkan untuk kegunaan telefon pintar. Lebih-lebih lagi aplikasi dari Google. Jangkakan ‘lagging’ atau masalah ‘screen tiba-tiba blank’ jika anda menggunakan metod ini.

2 – Gunakan Virtual Machine

Jika anda pernah mendengar ‘dua whatsapp dalam satu telefon’, kaedah ini juga turut boleh digunapakai untuk melepasi kongkongan GMS di telefon Huawei.

Bayangkan didalam telefon Android anda, ada satu lagi telefon Android yang akan ‘menyamar’ supaya telefon Huawei anda boleh menggunakan aplikasi-aplikasi dari Google.

Penggunaan Virtual Machine (VM) ini sebenarnya mampu menyelesaikan terus masalah ketiadaan GMS di telefon Huawei tetapi jika difikirkan semula, Android di dalam Android, betapa beratnya beban yang akan dipikul oleh telefon Huawei anda jika gunakan solusi ini. Metod ini boleh digunakan jika telefon anda mempunyai kuasa dan RAM yang mencukupi. Jadi, antara masalah yang mungkin timbul adalah ‘lag’ dan juga ketidak stabilan kerana aplikasi VM itu mungkin akan dipadamkan oleh Android asal secara tiba-tiba (untuk mengoptimumkan telefon). Tapi, seperti yang dinyatakan diatas, jika telefon anda cukup RAM, tiada masalah untuk gunakan metod ini.

Berita baiknya pula, anda boleh pasang aplikasi Play Store di dalam telefon Huawei anda tanpa sebarang masalah!

Antara aplikasi-aplikasi VM yang wujud adalah:

  • Gspace
  • VMOS
  • Dual Space
  • Parallel Space
  • Dan banyak lagi (boleh gunakan kata kunci ‘multiple account’ atau ‘virtual machine’ di Google untuk mencari apk-apk ini.

Walaupun bukan solusi sepenuhnya, tapi dua cara ini sekurang-kurangnya membolehkan anda atau anak-anak anda yang menjalankan pendidikan atas talian menggunakan aplikasi Google ketika PKP yang masih belum berekor ini.

Selain dua cara ini, ada juga cara-cara lain untuk memasang GMS secara terus di telefon Huawei namun caranya agak susah, mengandungi pelbagai masalah dan lebih tersasar kepada model-model dan firmware tertentu sahaja. Antara yang popular adalah Googlefier. Boleh Google untuk mengetahui lebih lanjut.