Teknologi satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT) digunakan oleh kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan internet di kawasan-kawasan terpencil, termasuk di pedalaman Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, penggunaan teknologi ini adalah selaras dengan langkah untuk memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur komunikasi melalui penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi, dengan menggunakan pelbagai teknologi.

Bagaimanapun, penggunaan teknologi satelit itu dikatakan bukanlah penyelesaian terbaik untuk jangka masa panjang.

Ia berikutan perkhidmatan jalur lebar yang disediakan melalui teknologi satelit mempunyai kelemahan termasuk kemampuan berdasarkan kapasiti yang terhad, kos operasi dan kos penyelenggaraan yang tinggi, serta masalah kestabilan perkhidmatan jika terdapat gangguan cuaca atau bekalan kuasa.

Akan tetapi, dengan perkembangan berterusan teknologi satelit, ia akan dinilai dan dipertimbangkan untuk kegunaan di kawasan yang tidak dapat dijangkau oleh rangkaian gentian optik dan teknologi 4G.

Sumber: BERNAMA