Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini akan dilengkapi teknologi pengecaman wajah tidak lama lagi. Dokumen perjalanan fizikal seperti tiket penerbangan dan pas masuk untuk pengesahan penumpang di KLIA akan digantikan dengan pelaksanaan fasa pertama inisiatif Single Token Journey.

Inisiatif ini akan memanfaatkan teknologi pengecaman wajah untuk pengesahan biometrik penumpang. Proses pengesahan pula dijangka akan mengambil masa sekitar 5 saat bagi setiap penumpang.

Sementara itu, fasa pertama teknologi ini dijangka akan siap pada separuh pertama 2021 di mana 50 kiosk daftar masuk sendiri, 20 kaunter daftar masuk dan 56 pintu masuk di pusat pemeriksaan keselamatan dan pintu masuk di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA akan dilengkapi dengan teknologi pengecaman wajah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, selain mengurangkan masa pemprosesan di lapangan terbang, ia juga mampu meningkatkan keselamatan penumpang dengan memberi pengalaman tanpa sentuhan bersesuaian dengan norma baharu.

Dalam pada itu, teknologi ini juga akan diitegrasikan dalam aplikasi MYairports di mana penumpang boleh mendaftar pengesahan wajah sebelum tiba di lapangan terbang.

Sumber: Malaysia Airports