Masih ingat dengan peranti comel yang dikenali sebagai Tamagotchi? Peranti permainan membela haiwan digital yang pernah menjadi kegilaan pada lewat era 90an dahulu.

Kini ia kembali cuma berbeza dari dahulu, ia lebih canggih di mana Tamagotchi kini hadir dalam bentuk jam tangan pintar dan dikenali sebagai Tamagotchi Smart.

Masih mengekalkan reka bentuknya yang berbentuk seakan telur, Tamagotchi Smart membolehkan penggunanya membela haiwan peliharaan digital, memaparkan jam, dilengkapi ciri arahan suara dan pedometer.

Tamagotchi Smart akan mula dijual secara rasmi pada 23 November nanti dan berharga sekitar USD68.00.

Cuma buat masa ini ia hanya akan dilancarkan untuk pasaran Jepun sahaja. Tetapi ia mungkin dijangka akan turut dipasarkan ke seluruh dunia kerana Tamagotchi adalah peranti yang sangat popular di seluruh dunia.

Menurut laporan Bandai, peranti permainan Tamagotchi telah dijual sebanyak 83 juta unit setakat Mac 2021.

Sumber: Gizmodo