Berikutan daripada insiden menara milik TM tumbang akibat hujan lebat di di Seberang Perak, Perak Tengah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan kerja-kerja menempatkan struktur sementara di menara komunikasi itu telah dilaksanakan.

Menara komunikasi milik TM yang dikongsi bersama dengan Celcom itu dilaporkan tumbang akibat kejadian hujan lebat dan angin kencang pada 13 Jun lalu.

Baca juga: Menara Telekomunikasi Tumbang, Pelanggan Unifi Mobile Dan Celcom Terjejas

Jadi dengan adanya struktur sementara yang menempatkan Base Transceiver Station (BTS) di lokasi kejadian, pengguna setempat yang terkesan akibat gangguan daripada insiden itu kini dapat menikmati kembali rangkaian komunikasi dan liputan Internet di kawasan mereka.

SKMM juga merakamkan penghargaan kepada semua penyedia perkhidmatan yang komited dalam melaksanakan perkara itu bagi memastikan ia berjaya disiapkan dalam tempoh yang dijanjikan demi kepentingan semua pengguna.

Sumber: SKMM