Bagi menjamin pendidikan agama dalam kalangan pelajar, terutamanya di peringkat sekolah rendah, slot Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) akan disiarkan setiap hari di TV AlHijrah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pihaknya mengambil maklum tentang kerisauan ibu bapa berkenaan kelas KAFA anak-anak mereka.

Tambahnya, inisiatif TV Pendidikan di TV AlHijrah itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI).

kelas KAFA TV AlHijrah

Sementara itu, pihak TV AlHijrah menyatakan slot pendidikan KAFA akan disiarkan setiap hari Isnin hingga Ahad pada jam 4.30 petang dan siaran ulangan pada hari sama jam 6.30 petang.

Pada hari Isnin, slot pendidikan KAFA akan menyiarkan mengenai Akidah dan Ibadah, Selasa pula mengenai Sirah, Rabu pendidikan Jawi dan Khat, Khamis pendidikan Adab, dan Jumaat pengajian Lughatul Quran.

Hari Sabtu adalah siaran mengenai Penghayatan Cara Hidup Islam, manakala Ahad berkaitan Amali Solat dan Bidang Quran.

Menerusi slot pendidikan ini, ia dijangka dapat membantu pelajar dari kumpulan B40, khususnya bagi mereka yang mempunyai masalah capaian internet yang terhad.

Sumber: Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, TV AlHijrah