Sebelum ini telah dilaporkan tentang satu insiden kemalangan motorsikal yang melibatkan seorang pelajar di Selama, Perak.

Kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu itu ketika pelajar itu menunggang motosikal untuk ke rumah bapa saudaranya bagi mendapatkan capaian internet lebih baik berbanding di kawasan rumahnya bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Prihati ke atas nasib yang menimpa pelajar tersebut, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Perak dan wakil penyedia perkhidmatan yang terdiri daripada Celcom, Digi, Maxis dan Telekom Malaysia telah mengadakan pertemuan dengan keluarga mangsa yang turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Selama, YB Mohd Akmal Kamaruddin bagi mendapatkan gambaran sebenar masalah capaian yang dihadapi selain keadaan terkini adik Siti A’isyah.

Bertindak ke atas masalah capaian internet lemah di Kampung Baru  Batu Tiga, Selama, Perak itu, SKMM memamklumkan bahawa mereka telah mengarahkan syarikat telekomunikasi untuk melaksanakan pengoptimuman pemancar yang berhampiran bagi memastikan liputan Internet yang lebih baik di kawasan rumah mangsa tersebut selewat-lewatnya pada bulan Julai ini.

Manakala bagi penyelesaian jangka masa panjang pula, SKMM mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk menyediakan infrastruktur komunikasi yang bersesuaian bagi memastikan liputan Internet yang lebih baik dinikmati oleh penduduk di kawasan Kampung Baru Batu Tiga tersebut.

SKMM juga menasihatkan para pelajar agar berhati-hati dan tidak membahayakan diri dalam usaha untuk mendapatkan capaian Internet.

Sumber: SKMM

Baca juga: Pelajar Cedera Parah Ketika Cari Internet Untuk PdPR

Baca juga – 8 Aplikasi Android Ini Didapati Membawa Perisian Hasad Joker

Baca juga – Pelajar Lepasan SPM 2020 Dipelawa Memohon Biasiswa Yayasan TM