Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah pun diumumkan oleh Perdana Menteri iaitu pelaksanaan panduan untuk Malaysia boleh keluar secara berfasa daripada pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil langkah bagi menjayakan agenda PPN tersebut.

Sebagai sebuah badan kawal selia yang bertanggungjawab ke atas sektor Komunikasi meliputi telekomunikasi dan Internet, pos dan kurier serta penyiaran, SKMM memaklumkan bahawa pelbagai program telah dibangunkan bersama industri seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk kesalinghubungan, Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) untuk penghantaran barangan, Transformasi Pejabat MCMC Negeri untuk lebih tangkas mengatasi isu perkhidmatan dan pembangunan Pusat Internet Komuniti (PIK) untuk membantu komuniti setempat baik bagi kesalinghubungan serta pembangunan ekonomi setempat.

SKMM juga menyambut baik kebenaran yang diberikan kepada sektor penyiaran untuk terus beroperasi semasa tempoh PKP.

SKMM berkata, pendigitalan negara terus menjadi fokus utama mereka bagi membantu negara dalam menyediakan landasan yang mantap bagi pemulihan ekonomi.

Sumber: SKMM