Susulan laporan tentang masalah liputan internet lemah yang dialami oleh pelajar sejak mutakhir ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa para pelajar untuk memanfaatkan kemudahan Pusat Internet Komuniti (PIK) yang terdekat dengan mereka.

Sebagai contoh masalah liputan lemah yang dialami oleh seorang pelajar Universiti di Kampung Bukit Petai 7, Tanah Merah, Kelantan, sehingga terpaksa belajar di khemah yang didirikan di atas bukit di belakang rumahnya.

SKMM mengsyorkan supaya pelajar itu memanfaatkan kemudahan PIK yang terdekat iaitu di PIK Kusial Bharu, yang terletak 3.5km dari rumahnya yang lebih selesa dan selamat.

Ia adalah pilihan terbaik sementara menunggu usaha bagi menyediakan menara pemancar mini dan menambah baik pemancar berdekatan yang terletak 2.5km dari kampung tersebut dilaksanakan.

SKMM memaklumkan, ketika ini terdapat sebanyak 873 Pusat Internet Komuniti di seluruh negara yang dibiayai oleh mereka.

Semua PIK tersebut mempunyai kelengkapan ICT, capaian Internet yang laju dan petugas sepenuh masa yang boleh membantu pengunjung yang datang untuk menggunakan perkhidmatan PIK.

Setiap PIK dilengkapi 20 unit komputer, liputan Wifi dan ruang berhawa dingin untuk memberi keselesaan kepada pengguna.

Pengurus PIK juga boleh mengkhususkan bilik latihan yang selesa dan kondusif untuk kegunaan pelajar-pelajar yang perlu mengambil peperiksaan dalam talian.

Orang ramai boleh menyemak lokasi 873 PIK melalui pendaftaran kata laluan di laman sesawang https://mycomms.skmm.gov.my .

Sumber: SKMM