Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Sabtu, 28 Ogos 2021 lalu telah pun mengadakan pertemuan dengan wakil penduduk Kampung Lahar Tiang, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Ia sebagai tindakan susulan aduan pengguna di kawasan itu mengenai kelewatan pihak TM untuk menaiktaraf pelanggan Streamyx ke Unifi di kampung tersebut.

Dalam pertemuan itu, SKMM memaklumkan bahawa kerja-kerja untuk menaiktaraf liputan jalur lebar tetap di Kampung Lahar Tiang dan kawasan berhampiran sedang giat dijalankan dan dijangka akan dapat disiapkan pada pertengahan bulan Oktober tahun ini.

SKMM menyatakan, sebanyak 240 premis jalur lebar tetap dengan kapasiti gigabit akan disediakan dan dijangka mampu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh para penduduk di Kampung Lahar Tiang dan juga kampung sekitar termasuklah Kampung Permatang Setar, Kampung Permatang Durian, Kampung Permatang Langsat, Pengkalan Udara Bomba dan Penyelamat, Pusat Komuniti dan Perpustakaan Desa.

Sumber: SKMM