Berikutan tular perkongsian video iklan raya yang mengajak aktiviti judi baru-baru ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memaklumkan bahawa mereka telah bertindak dengan menyekat daripada penyebaran ikalan judi tersebut terus berleluasa.

Tindakan sekatan secara laluan pantas (‘fast-track’) itu dilakukan dengan bantuan dari pihak PDRM yang telah mengarahkan penyedia perkhidmatan Internet untuk menyekat akses ke atas laman sesawang yang melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, yang berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, SKMM juga telah berkomunikasi dengan pihak penyedia platform media sosial seperti Facebook, Twitter, dan YouTube untuk menurunkan kandungan berkenaan.

SKMM memaklumkan bahawa setakat ini, sejumlah 61 kandungan telah diminta untuk diturunkan oleh pihak Facebook, Twitter dan YouTube yang berpangkalan di luar negara. 13% daripadanya telah pun diturunkan berdasarkan pelanggaran terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan pihak mereka, manakala selebihnya masih dalam proses penilaian dan penelitian penyedia platform.

SKMM juga menyeru kepada para pengguna media sosial di negara ini agar lebih bertanggungjawab dengan melaporkan secara terus kepada pihak berkuasa mengenai penyebaran video-video yang bercanggah dengan norma masyarakat untuk tindakan susulan mereka dan tidak menyebarluaskan kandungan berkenaan.

Sumber: SKMM