Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah turun padang ke Kg. Ranggom, Keningau, Sabah untuk bertemu dengan seorang pelajar tingkatan lima di sana.

Lawatan itu adalah susulan daripada aduan masalah capaian Internet lemah yang dihadapi oleh pelajar tersebut.

Pertemuan itu turut disertai oleh wakil penyedia perkhidmatan dari Celcom, Digi, Maxis dan YTL bagi mencari jalan penyelesaian kepada capaian Internet lemah yang dihadapinya.

Dalam lawatan itu, ujian kelajuan jalur lebar turut dijalankan di kawasan rumah pelajar itu dan hasil ujian mendapati liputan di lokasi adalah tidak memuaskan.

SKMM memaklumkan bahawa pelbagai usaha giat diambil bagi memastikan masalah kesalinghubungan di kawasan berkenaan ditangani dengan segera.

Sebagai langkah sementara bagi menangani isu capaian internet lemah di kawasan itu, kerja-kerja pengoptimuman akan dijalankan oleh pihak Maxis di lokasi menara terdekat iaitu di Kg. Labak Baru Bingkor.

Manakala untuk penyelesaian jangka panjang pula, solusi menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sudah pun dirancang di kampung itu di mana sebuah menara akan dibina oleh pihak Celcom menerusi projek JENDELA di Kg. Sungai Apin-Apin yang terletak lebih kurang 0.77 kilometer dari Kg. Ranggom.

Pembinaan menara ini dijangka akan siap pada bulan April 2022 nanti.

Diharapkan dengan pembinaan menara itu ia akan menyelesaikan masalah liputan yang dihadapi oleh pelajar berkenaan dan para penduduk di sekitar Kg. Ranggom.

Sumber: SKMM