Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama-sama dengan wakil penyedia perkhidmatan telah turun padang ke Kg. Ulu Seladang, Permaisuri, Terengganu.

Ia sebagai tindakan susulan ke atas laporan yang dibuat oleh Astro Awani pada 26 Jun 2021 lalu yang telah melaporkan berkenaan masalah liputan Internet di kampung tersebut yang hanya terhad kepada rangkaian 3G sahaja.

Keadaan itu sekaligus menyebabkan pelajar di perkampungan itu tidak dapat menghadiri dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kerana rangkaian 3G adalah tidak memadai untuk PdPR.

SKMM memaklumkan, di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), kerja-kerja menaik taraf menara komunikasi di Kg. Ulu Seladang kepada liputan 4G sedang giat dijalankan dan dijangka siap selewat-lewatnya penghujung Ogos 2021.

Apabila selesai proses menaik taraf itu, ia akan dapat menyelesaikan isu liputan internet di tiga kampung sekitarnya iaitu Kg. Besut, Kg. Bayas dan Kg. Padang.

Sekaligus akan memberi manfaat kepada lebih 1,000 orang penduduk.

Sumber: SKMM