OPPO Malaysia kini telah melancarkan siri Reno5 terbaharu mereka. Terdapat 2 varian yang diperkenalkan iaitu Reno5 dan juga Reno5 Pro yang lebih berkuasa. Sebagai siri Reno, ia banyak memfokuskan kepada aspek kamera dan penggambaran.

Perbezaan utama antara Reno5 dan Reno5 Pro adalah penggunaan cip, skrin melengkung untuk model Pro, RAM, dan juga storan dalaman.

Skrin siri OPPO Reno5 adalah dari 6.43 inci OLED FHD+ yang menyokong kadar segar semula 90Hz. Skrin itu juga turut menyokong piawaian untuk Netflix HD dan Amazon Prime HD.

Skrin yang digunakan pada Reno5 adalah 2.5D manakala varian Reno5 Pro lebih melengkung 3D.

Terdapat lubang kamera untuk memuatkan kamera swafoto 32MP pada skrin itu juga.

Kedua-duanya mempunyai 4 lensa belakang dibarisi oleh 64MP utama, 8MP sudut lebar, 2MP makro, dan 2MP mono. Ciri-ciri menarik kamera termasuklah Dual View video, Ultra Night video, Live HDR, AI Highlight, Night Flare Portrait, Portrait Beautification, dan Ultra Steady Mode 3.0.

OPPO Reno5 biasa dijana oleh Snapdragon 765G dengan memori 8GB/128GB manakala Reno5 Pro pula MediaTek Dimensity 1000+ bersama 12GB/256GB. Kedua-dua model turut menyokong rangkaian 5G.

Siri Reno5 ini mempunyai kapasiti bateri sebesar 4,300mAh dengan pengecasan pantas 65W dari SuperVOOC 2.0. Ia juga menyokong fungsi Reverse Charging.

Untuk pasaran Malaysia, OPPO Reno5 dipasarkan berharga RM1,899 sementara Reno5 Pro pada RM2,599. 2 pilihan warna yang boleh dimiliki iaitu Galactic Silver dan Starry Black.

Pra-tempahan akan dibuka bermula hari ini (18 Januari) sehingga 26 Januari nanti yang mana setiap pembelian akan menerima hadiah percuma bernilai RM397 berikut:

  • Fon telinga Enco W11 (bernilai RM159)
  • Kerangka telefon pintar (bernilai RM129)
  • Waranti tambahan selama setahun (bernilai RM109)

Untuk jualan rasmi pula adalah pada 27 Januari 2021. Anda boleh mendapatkannya melalui pengedar sah OPPO Malaysia dan juga secara atas talian seperti Shopee dan Lazada.