Sebentar tadi telah berlangsungnya acara khas pelancaran model terbaru telefon pintar siri Huawei P50 di China. Sebanyak 2 model diperkenalkan bagi siri P50 iaitu Huawei P50 dan Huawei P50 Pro.

Secara zahirnya, kedua-dua model ini menggunakan rekaan yang sama.

Cuma sedikit perbezaan pada rekaan skrin. Huawei P50 Pro menggunakan skrin lengkung 6.6 inci OLED (1,225 x 2,700 px resolution/450ppi) dengan kadar segara 120Hz.

Huawei P50 pula dilengkapi skrin OLED bersaiz 6.5 inci dengan kadar segar 90Hz sahaja.

Bagi bahagian cip pemprosesan pula, Huawei P50 hanya ditawarkan dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 888 sahaja.

Tetapi bagi model Huawei P50 Pro, ia ditawarkan dalam dua versi iaitu cip pemprosesan Kirin 9000 atau Qualcomm Snapdragon 888.

Cuma agak mengejutkan kerana siri P50 ini hanya menyokong rangkaian 4G sahaja.

Selain itu, Huawei P50 Pro dilengkapi dengan RAM 12GB, storan sehingga 512GB dan bateri berkapasiti 4360mAh.

Sementara bagi model Huawei P50, ia dimuatkan dengan 8GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri 4100mAh sahaja.

Bagi spesifikasi kamera pula, kedua-dua model ini menggunakan kamera Leica dengan sensor 50MP serta OIS (Optical Image Stabilization).

Cuma bagi model Huawei P50 Pro, ia turut dilengkapi dengan kamera hitam dan putih 40MP.

Bagi kuasa pengecasan Huawei P50 dan Huawei P50 Pro pula, kedua-duanya menyokong pengecasan pantas 66W menerusi sambungan USB-C dan 50W tanpa wayar.

Malah kedua-duanya juga dilengkapi dengan pembesar suara stereo serta tahan air dan debu IP68.

Huawei P50 Pro ditawarkan dalam 5 warna menarik. Tetapi model Huawei P50 hanya ditawarkan dalam 3 pilihan warna sahaja.

Huawei P50 Pro akan ditawarkan secara global yang berharga dari 5988 Yuan (~RM3928.00) sehingga 8488 Yuan (~RM5568.00).

Manakala Huawei P50 berharga dari 4488 Yuan (~RM2944.00) dan 4988 Yuan (~3272.00).

3 versi HUAWEI P50 Pro ini dikuasakan oleh cip SD888.
2 Versi HUAWEI P50 Pro ini dukuasakan oleh cip Kirin 9000.

Kesemua siri telefon pintar HUAWEI P50 ini akan ditawarkan secara global tahun ini.