Hari ini di China, HONOR baru sahaja melancarkan model terkini HONOR V30 dan V30 Pro. Ini merupakan model pertama untuk siri HONOR yang menampilkan sokongan rangkaian 5G. Kedua-dua model juga mempunyai rekaan kamera hadapan dengan bentuk pil dan juga kamera belakang dengan modul berbentuk petak.
Spesifikasi untuk kedua-dua model ini hampir sama dengan sedikit perbezaan. Bermula dengan skrin, siri HONOR V30 mempunyai skrin bersaiz 6.57 inci FullHD LCD. Kamera hadapan kedua-duanya mempunyai 2 lensa iaitu 32MP swafoto utama + 8MP ultralebar.
Dari segi perisian, kedua-dua dimuatkan dengan antaramuka MagicUI 3.0 berasaskan Android 10. Ia juga menyokong fungsi GPU Turbo 3.0 untuk prestasi permainan yang dipertingkatkan. Terdapat pilihan 6/8GB RAM dan juga storan dalaman 128/256GB.
Untuk perbezaan antara kedua model, HONOR V30 dijana oleh cip Kirin 990 dengan tambahan modem Balong 5000. V30 Pro pula dijana oleh Kirin 990 dengan 5G secara integrasi.
Kedua-duanya mempunyai 3 kamera belakang, sokongan laser autofokus dengan sedikit perbezaan lensa. V30 mempunyai tetapan 40MP utama + 8MP ultralebar + 8MP telefoto manakala V30 Pro 40MP utama + 12MP ultralebar + 8MP telefoto. V30 boleh menangkap gambar sehingga tahap ISO 200,000 dan V30 Pro pada 400,000.
HONOR V30 mempunyai bateri sebesar 4,100mAh dan V30 Pro pula pada kapasiti 4,200mAh. Kedua-duanya menyokong pengecasan pantas 40W, tanpa wayar 27W, dan juga tanpa wayar berbalik 7.5W.
HONOR V30 dijual bermula pada harga bermula CNY3,299 (~RM1,959) dan V30 Pro bermula harga CNY3,899 (~RM2,316) di China.