Pernahkah anda terfikir, konsol Nintendo Switch sedia ada yang berukuran 6.2-inci tidak cukup besar? Terkini, seorang jurutera, Michael Pick telah menghasilkan Nintendo Switch ‘gergasi’ dengan paparan 650% lebih besar menggunakan kayu dan plastik.
Konsol gergasi ini mempunyai paparan 4K melalui sambungan TV sebagai panel skrin. Dengan ukuran 30″ x 70″ dan seberat 29.48 kg, ia juga dilengkapi butang yang berfungsi sama seperti Nintendo Switch sebenar, termasuk butang trigger di bahagian sisi.
Ia berikutan, semua butang tersebut telah disambungkan dengan Joy-Con sebenar, yang tersembunyi di bahagian dalam.
Selain menggunakan butang yang besar, konsol gergasi ini juga boleh dimainkan dengan Nintendo Switch Pro. Satu-satunya yang tidak berfungsi pada konsol gergasi ini adalah skrin sentuh.