Tiga tahun setelah insiden Wannacry yang tidak dapat dielakkan bahkan di Malaysia, dunia sentiasa menghadapi ancaman cyber walaupun di tengah pandemik Covid-19.
Baru-baru ini, Kaspersky telah mengesan dan menyekat serangan ransomware pada komputer perusahan kecil-sederhana (SME) di Asia Tenggara.
Berdasarkan laporan syarikat keselamatan siber tersebut, serangan itu menunjukkan penurunan sebanyak 1.4 juta pada separuh masa pertama 2019 berbanding hanya setengah juta pada separuh masa pertama 2020.
Keenam-enam negara di rantau ini iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam memperlihatkan penurunan pengesanan serangan ransomware dari Januari hingga Jun 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Singapura pula mencatatkan pengurangan pengesanan ransomware tertinggi pada 89.79% diikuti oleh Malaysia pada 87.65% dan Indonesia pada 68.17%.
Penurunan ini adalah disebabkan penurunan salah satu kumpulan ransomware terbesar yang melanda organisasi di seluruh dunia pada tahun 2017.
Selain itu, peningkatan dalam sistem perisian yang mengurangkan kerentanan sistem komputer turut memainkan peranan. Sistem operasi Microsoft Windows telah menjadi sasaran utama malware ini.
Jika anda tidak tahu, ransomware adalah perisian berniat jahat yang menyerang komputer seseorang, mengunci skrin komputer atau menyulitkan fail penting dengan kunci, dan memaparkan mesej yang menuntut bayaran sebagai ganti agar komputer dapat berfungsi semula.
Sekiranya organisasi anda menjadi mangsa serangan ransomware, Kaspersky mengesyorkan untuk memutuskan sambungan komputer yang dijangkiti dari rangkaian dan internet serta mengasingkannya. Jangan sesekali membayar wang tebusan yang dituntut oleh penjenayah siber.