Jangan galak menyebar berita palsu hanya semata-mata mahu menjadi yang pertama atau berlagak pandai.
Menerusi kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menahan seorang suspek yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) pada 28 Januari 2020 lalu.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Ia merupakan tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa bagi mengawal penyebaran berita tidak benar mengenai wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab sehingga mampu mengganggu-gugat kestabilan negara dan ketenteraman awam.
SKMM dengan PDRM telah pun memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita yang tidak sahih mengenai penularan Novel Coronavirus (2019-nCoV) di Malaysia.
SKMM dalam kenyataan medianya berkata, mereka dan PDRM mengambil serius akan perbuatan ini dan sedang giat mengesan 3 lagi suspek untuk membantu siasatan.
Oleh itu, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak menyebar dengan berkongsikan berita palsu di laman-laman sosial.
Dapatkan dulu sesuatu fakta terhadap berita yang tular menerusi laman Sebenarnya.my atau dari aplikasi Sebenarnya.my (Google Play Store atau Apple App Store) sebelum berkongsikan sesuatu berita kerana penyebaran berita palsu boleh memudaratkan masyarakat dan negara.