Dalam sidang media oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin baru-baru ini, beliau memaklumkan bahawa selain vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh syarikat Pfizer, Malaysia turut memilih vaksin COVID-19 keluaran syarikat farmaseutikal dari United Kingdom (UK) iaitu AstraZeneca.

Pemilihan vaksin tersebut dibuat melalui rundingan di bawah fasiliti COVAX. Menurut beliau, penghantaran vaksin AstraZeneca melalui COVAX itu sedang dimuktamadkan tetapi kerajaan telah dimaklumkan bahawa Malaysia akan menerimanya di antara bulan Mac dan Jun tahun depan.

Selain itu beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang berunding bagi mendapatkan akses kepada 14 juta dos vaksin COVID-19 daripada Sinovac dan 6.4 juta dos daripada Gamaleya serta perjanjian dengan CanSinoBIO yang melibatkan 3.5 juta vaksin.

Sebelum ini telah dilaporkan peratusan perbezaan keberkesanan vaksin COVID-19. Tahap keberkesanan vaksin dari Pfizer dilaporkan adalah yang tertinggi iaitu sehingga 95%.

Tahap keberkesanan vaksin dari The Gamaleya National Center ( Rusia) pula adalah pada 91.4%.

Diikuti oleh vaksin dari Astra Zeneca (United Kingdom) yang kadar keberkesanannya adalah antara 60%-90%.

Sementara tahap keberkesanan vaksin dari China pula iaitu CanSinoBIO akan diumumkan nanti.

Sumber: Bernama