Sejumlah RM21.8 juta dana telah diluluskan kepada 30 syarikat menerusi Program Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) setakat ini.

Program ini merupakan inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan sokongan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), MIMOS, Futurise dan Technology Park Malaysia (TPM).

Bagi anda yang belum tahu, Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) adalah kemudahan yang membolehkan penyelidik, penginovasi, syarikat pemula dan usahawan berteknologi tinggi untuk menguji produk, perkhidmatan, model perniagaan dan mekanisme penyampaian dalam persekitaran secara langsung.

Sehingga kini, sebanyak 1763 syarikat telah berdaftar dalam NTIS. Daripada jumlah tersebut, MTDC telah menerima 48 permohonan untuk penilaian bagi Dana Sandbox.

Melalui NTIS, syarikat pemula teknologi boleh menerima bantuan dana RM100 juta yang diperuntukkan dan memperoleh beberapa skim pembiayaan. Antaranya termasuk Single Site Sandbox, Multisite Sandbox, Commercialisation Sandbox dan Corporate Sandbox.

Untuk maklumat lanjut mengenai program NTIS, layari laman web Sandbox Malaysia.

Sumber: BERNAMA