Dalam Sidang Khas Dewan Rakyat yang telah berlangsung hari ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memaklumkan bahawa ketika ini terdapat lebih daripada 27.7 juta pengguna aktif yang berdaftar dengan aplikasi MySejahtera.

Seperti semua tahu, MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

Malah ia juga dilengkapi dengan ciri MySejahtera Check-In di mana ia memberi kebenaran kepada semua jenis premis untuk mengikuti SOP Pembukaan Semula Ekonomi yang digariskan oleh Kerajaan Malaysia dalam keadaan wabak COVID-19 di Malaysia.

Dr. Adham Baba juga memaklumkan, aplikasi itu merekodkan jumlah kumulatif 6.7 bilion daftar masuk (check in) ke premis berdaftar menggunakan imbasan kod QR dengan purata 19.3 juta check-in sehari.

Kini fungsi aplikasi MySejahtera telah diperluaskan dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebagai sijil vaksin digital.

Sijil vaksin digital itu boleh diakses melalui paparan pada ikon ‘Profile’ di aplikasi MySejahtera milik individu yang terlibat.

 

Contoh sijil vaksin digital apabila penerima sudah lengkap divaksin COVID-19.

Sumber: Utusan