Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) hari ini memaklumkan, mereka telah menerima sebanyak 1,786 permohonan daripada Sektor Komunikasi yang telah diproses melalui CIMS setakat ini.

Walaubagaimanapun daripada jumlah itu, sebanyak 1,420 permohonan lagi telah ditolak atas 3 alasan utama berikut:-

• Perkhidmatan bukan di bawah Sektor Komunikasi;
• Perkhidmatan walaupun di bawah Sektor Komunikasi, namun bukan pemegang lesen atau menjalankan perkhidmatan perlu; atau
• Tidak tersenarai sebagai vendor, pengedar atau ejen yang disahkan oleh pemegang lesen.

Bakinya pula iaitu sebanyak 366 lagi telah diluluskan SKMM yang melibatkan 132 kelulusan kepada syarikat berkaitan perkhidmatan telekomunikasi, 108 berkaitan penyiaran dan 126 lagi berkaitan pos dan kurier.

SKMM menegaskan bahawa proses kelulusan melalui CIMS bagi sektor-sektor yang berada di bawah pemantauan mereka adalah dijalankan secara telus dan teliti bersandarkan matlamat meneruskan kesinambungan perkhidmatan perlu kepada rakyat serta mengelakkan penyalahgunaan surat kebenaran yang diberikan untuk tujuan yang tidak sepatutnya.

Sumber: SKMM