Sebelum ini, Nintendo telah mengumumkan konsol permainan Switch akan dihasilkan di Malaysia sebagai penambahan kepada lokasi pengeluaran sedia ada iaitu di China dan Vietnam. Terbaru, Mac mini yang dijana cip Apple M1 juga dilaporkan telah dibuat di Malaysia.

Menurut laporan Lowyat.net, video yang dimuatnaik 9to5Mac memperlihatkan unit tersebut telah dihasilkan di Malaysia. Tinjauan pada video yang dimaksudkan turut mengesahkan perkara ini.

Selain itu, beberapa unit Mac mini yang diterima oleh Zollotech dan PCMag juga dihasilkan di Malaysia.

Mac mini M1 Malaysia
Kredit: PCMag

Bagaimanapun, tidak semua Mac mini dibuat di Malaysia. Sebahagian unit yang diterima oleh Ars Technica, Creative Blog, dan The Verge adalah dihasilkan di China.

Untuk pasaran tempatan, harga Mac mini dengan cip Apple M1 ini telahpun diumumkan pada RM2,999. Walaupun begitu, belum diketahui bila Mac mini akan tersedia untuk jualan di Malaysia.

Sumber: Lowyat