Sebuah satelit yang diperbuat daripada papan lapis bakal dilancarkan ke angkasa lepas tahun ini.

Satelit yang dikenali sebagai WISA WOODSAT adalah sebuah satelit nano yang berukuran 10 x 10 x 10 cm.

Satelit itu direkla dan dibangunkan di negara Finland dan dijangka akan dilancarkan pada tahun ini di kompleks pelancaran roket Mahia Peninsula yang terletak di New Zealand.

Satelit kayu lapis ini hanya seberat 1kg dan dilengkapi dengan 2 kamera, dikuasakan oleh 9 sel solar dan memiliki 3 sensor.

Misi utama melancarkan satelit WISA WOODSAT itu adalah bertujuan bagi menguji dan membuktikan bahawa material kayu khususnya dari papan lapis WISA-Birch mampu bertahan dalam keadaan ekstrem angkasa lepas seperti kepanasan, ruang vakum, radiasi dan sejuk untuk tempoh masa yang lama.

Projek yang dijalankan secara bersama oleh UPM Plywood, Arctic Astronautics dan Huld ini turut mendapat kerjasama daripada Agensi Angkasa Lepas Eropah yang akan menyediakan komponen dalaman bagi satelit tersebut seperti peralatan sensor.

Apabila satelit kayu lapis ini dilancarkan, ia dijangka akan melengkapkan pusingan orbit bumi setiap 1 jam 30 minit pada altitud antara 500–550 kilometer dari bumi.

Sumber: Wisa Plywood