Pasaran peranti boleh pakai (wearable) semakin hari semakin mendapat sambutan kita semua. Bukan sekadar untuk kelihatan bergaya, ia bahkan memberi kemudahan kepada kita untuk memantau kesihatan serta kecergasan tubuh badan.

Terbaru, bagi mengukuhkan lagi tawaran,  Samsung tampil mengumumkan cip Exynos W920 khusus untuk pasaran peranti boleh pakai. Ia merupakan cip yang diintegrasikan dengan modem LTE ini merupakan yang pertama dalam industri dibangunkan oleh proses 5nm EUV.

Melalui cip baharu ini, Samsung menjanjikan pengalaman penggunaan lebih baik dari segi kelancaran aplikasi, antaramuka menarik, lebih responsif serta sokongan kepada sambungan rangkaian LTE lebih pantas.

Exynos W920 dilengkapi dengan dua teras Cortex A-55 serta Mali G68. Masing-masing akan memberikan peningkatan prestasi pemprosesan sekitar 20% dan 10 kali ganda prestasi grafik berbanding model terdahulu.

Selain itu, bagi penjimatan kuasa ia turut menggunakan Cortex M55 sebagai pemproses untuk paparan kuasa rendah. Ini membolehkan ciri seperti Always On Display berfungsi tanpa perlu mengaktifkan unit pemproses utama.

Bagi fungsi lain, Exynos W920 akan disertakan modem 4G LTE Cat 4 untuk komunikasi tanpa wayar serta Global Navigation Satellite System (GNSS) L1 bagi penjejakan kedudukan.

Cip ini akan membuat kemunculan pertama pada Galaxy Watch akan datang. Model yang dimaksudkan oleh Samsung mungkin adalah Galaxy Watch 4 yang akan dilancarkan pada Galaxy Unpacked esok, 11 Ogos jam 10 malam waktu tempatan.

Sumber: Samsung Newsroom

Baca juga: