Samsung telah memperkenalkan monitor pintar mereka – Samsung Smart Monitor pada November yang lepas dan kini ia tiba buat pasaran tempatan serta pra-tempahan boleh dilakukan mulai hari ini sehingga 19 Disember dengan harga bermula RM899.

Monitor pintar ini dilengkapi dengan sistem operasi Tizen yang mana Samsung mendakwa bahawa ia adalah produk pertama daripada mereka.

Menerusi sambungan WiFi yang terbina, pengguna boleh terus menggunakan monitor ini tanpa sambungan daripada PC atau komputer riba.

Boleh dikatakan monitor ini ibarat smart TV tetapi dengan saiz lebih kecil kerana pengguna boleh mengakses Netflix, YouTube, Apple TV serta HBO melalui aplikasi Smart Hub dalam Samsung Smart Monitor.

Tambahan lagi, Microsoft Office 365 yang sudah sedia terpasang membolehkan pengguna melihat, menyunting dan menyimpan dokumen secara terus melalui monitor ini.

Samsung Smart Monitor menggunakan panel VA dengan paparan rata yang menyokong kadar penyegaran 60Hz dan masa tindak balas 8ms.

Bagi model M5, terdapat dua skrin ditawarkan iaitu 27 inci dan 32 inci yang masing-masing menggunakan resolusi FHD (1920×1080). Sementara model M7 yang bersaiz 32 inci pula menggunakan skrin beresolusi 4K (3840×2160).

Sempena pelancarannya, pra-tempahan boleh dibuat dengan harga RM899 dan RM1099 bagi model M5 manakala RM1599 bagi model M7. Ia boleh didapati menerusi laman rasmi Samsung Malaysia atau di Lazada dan Shopee.