Perlumbaan saiz megapixel dalam sensor kamera buat masa ini ‘dimenangi’ oleh jenama seperti Samsung dan Xiaomi dengan 108MP.

Namun nombor itu bukanlah penamat akhir perlumbaan kerana Samsung dikatakan sedang bangunkan sensor dengan 600MP.

Melalui maklumat dari Ice Universe, syarikat tersebut sahih sedang membangunkan sebuah sensor 600MP menerusi imej dokumen dalaman yang diperoleh.

Dari imej yang diperlihatkan, ia juga turut mendedahkan sedikit spesifikasi sensor tersebut. Sensor 600MP ini dibangunkan bertujuan untuk kegunaan rakaman video 4K dan 8K, yang membenarkan kualiti zum lebih tinggi.

Namun begitu, terdapat satu isu utama apabila sensor 600MP ini dimuatkan ke telefon pintar – bonggol kamera akan menjadi sangat tebal sehingga terkeluar sebanyak 22mm.

Saiz ini tersangatlah tebal sehinggakan 2 kali ganda lebih tebal dari telefon pintar itu sendiri, dan tidak realistik untuk diletakkan.

Jadi melihatkan perkara ini, boleh dikatakan sensor 600MP tidak akan dimuatkan dengan masa terdekat kerana Samsung mahu menyelesaikan masalah bonggol ini terlebih dahulu.

Sumber: Ice Universe