Samsung sedia mengadakan acara Galaxy Unpacked pada minggu hadapan, iaitu 11 Ogos 2021. Antara peranti yang pasti diperkenalkan berdasarkan video dan poster acah adalah Galaxy Z Fold3 dan Galaxy Z Flip3.

Salah satu lagi peranti yang dijangka hadir bersama adalah jam tangan pintar Galaxy Watch4. Dikatakan terdapat dua varian – Galaxy Watch 4 dan Watch 4 Classic.

Terbaru, 91mobiles memperlihatkan peranti tersebut buat pertama kalinya. Dari gambar yang diperlihatkan, Galaxy Watch 4 Classic mempunyai bezel yang berputar bersama dua butang di bahagian sisi kanan dan mungkin hadir dengan tiga pilihan warna.

Walaupun tiada maklumat terperinci berkaitan spesifikasinya tetapi jam tangan pintar tersebut menjalankan antara muka baharu berasaskan WearOS. Ini sama seperti yang diumumkan semasa acara Google I/O pada tempoh hari.

Menerusi sistem operasi baharu tersebut, secara tidak langsung ia membawakan elemen-elemen Tizen OS dan fungsi dari Wear OS di samping menawarkan prestasi serta jangka hayat bateri lebih baik.

Dalam pada itu, imej jam tangan pintar Samsung ini juga amat mirip dengan yang dipakai atlet Korea Selatan ketika sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan pelancarannya pada minggu hadapan.

Sumber: 91mobiles

Baca juga artikel berkaitan: