Baru-baru ini, pengguna Samsung Galaxy S9 dan S9+ telah mula menerima kemaskini Android 9 Pie bersama antaramuka baharu, One UI.
Berita tersebut bukan sahaja memberi keterujaan kepada pengguna Galaxy S9/S9+, malah turut kepada pengguna Galaxy Note 9.
Ini kerana Samsung sebelum ini telah menjadualkan penawaran Android 9 kepada Note 9 tidak lama selepas Galaxy S9/S9+.
Bagaimanapun, jika menurut laporan laman portal Turki, Guncelmiyiz(via Nashville Chatter), pengguna Note 9 mungkin perlu menunggu lebih lama untuk menikmati sistem operasi terbaru berkenaan.
Portal tersebut telah menjadualkan penawaran Android 9 Pie bagi Galaxy Note 9 pada 1 Februari, berbanding 15 Januari sebelum ini.
Sebahagian daripada pengguna Note 9 di Jerman telah menerima OS tersebut namun ia dikatakan hanyalah percubaan sahaja.
Kemaskini Android Pie pada Galaxy S9/S9+ adalah bersaiz lebih 1.7GB dan saiz yang tidak jauh berbeza juga dijangka akan diperlukan oleh Samsung Galaxy Note 9 nanti.
Sumber: Android Authority Nashville Chatter