Tinggal beberapa minggu sahaja lagi sebelum Samsung mengumumkan peranti baharu mereka iaitu siri Galaxy S21. Semalam, kita sudah lihat gambar bagi siri ini sudah tersebar di internet.

Kini, rekaan bagi peranti ini tertiris melalui satu video acah pula menerusi perkongsian daripada akaun Twitter MaxWinebach.

Berdasarkan perkongsian tersebut, nampaknya rekaan yang tertiris sebelum ini dapat disahkan. Rekaan bagi Galaxy S21 dan S21+ adalah sama dengan 3 kamera terbina di belakang.

Manakala Galaxy S21 Ultra pula dilengkapi kuad-kamera pada bahagian belakang dimana kamera utama adalah 108MP bersama-sama kamera ultra-lebar serta telefoto.

Selain itu, S21 dan S21+ yang ditunjukkan dalam video menggunakan warna Phantom Violet, sama seperti yang didedahkan sebelum ini.

Sementara versi ultra hanya ditawarkan dua warna iaitu Phantom Black dan Phantom Silver. Malah, dalam video turut menunjukkan ia dalam warna Phantom Black.

Siri Samsung Galaxy S21 dijangka akan dilancarkan pada 14 Januari 2021 semasa acara Galaxy Unpacked.

Pada masa yang sama juga, Samsung turut mengumumkan acara CES yang akan diadakan pada 11 Januari 2021 yang mana berkemungkinan mereka akan lancarkan TV baharu mereka.

Sumber: MaxWinebach