Beberapa hari sebelum ini, akaun rasmi Twitter @NetflixMY menjadi tumpuan pengguna platform itu dek kerana ciapan “Tell us you’re Malaysian, without telling us you’re Malaysian”. Pelbagai reaksi balas diterima dan sememangnya menarik untuk dibaca satu persatu.

Namun berbeza pula hari ini, akaun rasmi itu sekali lagi menjadi perbualan hangat oleh kerana tidak menggunakan Bahasa Malaysia sebagai medium pengantara di Twitter.

Warga maya mempersoalkan mengapa akaun rasmi Netflix di negara seperti Jepun, Thailand dan Indonesia membuat ciapan didalam bahasa kebangsaaan mereka, tetapi tidak bagi Netflix Malaysia.

Ada yang berpendapat, @NetflixMy seharusnya menggunakan Bahasa Malaysia kerana kewujudan akaun rasmi media sosial di sesebuah lokasi adalah untuk memberikan interaksi kepada pelanggan tempatan.

Tidak dinafikan Bahasa Inggeris antara bahasa yang mendominasi komunikasi di dalam negara, namun rata-rata pengguna Twitter menganggap ia seperti mengenepikan bahasa kebangsaan.

Mungkin @NetflixMY boleh melihat perkara ini dengan lebih mendalam dimana penggunaan Bahasa Malaysia bukan sekadar untuk hebahan dan identiti akaun rasmi tempatan semata-mata, tetapi juga salah satu cara untuk memartabatkan dan mengajak lebih ramai berbahasa Malaysia dengan baik di media sosial.