Salah satu sebab mengapa permainan di telefon pintar mempunyai jumlah pengguna yang ramai adalah sifatnya yang mudah alih. Tidak hairan jika Sony juga telah mempunyai PSP satu ketika dahulu.

Namun, sebuah lagi jenama yang masih bertahan dalam arena konsol mudah alih adalah Nintendo melalui Switch. Popularitinya juga melonjak naik sewaktu bermula COVID-19 tahun lalu.

Ia juga disebabkan Switch ini mempunyai permainan yang banyak serta menarik untuk dimainkan.

Melihat situasi ini, Qualcomm dilaporkan untuk membangunkan konsol mudah alih yang mirip dengan Nintendo Switch, tetapi berasaskan Android.

Bermakna, ia bakal hadir dengan alat kawalan yang boleh dicabut dan mempunyai sambungan untuk dimainkan pada monitor atau TV.

Perbezaannya adalah Qualcomm akan menawarkan prestasi CPU yang baik, pengecasan pantas beserta bateri 6000mAh, sokongan 5G dan slot kad mikroSD.

Dari segi sistem perisian, mereka akan menggunakan Android 12 yang mana mereka juga sedang berbincang untuk memasukkan aplikasi Epic Games.

Jika laporan ini benar, konsol Qualcomm ini dijangka hadir seawal suku pertama tahun 2022 dan kita juga dapat lihat persaingan permainan mudah alih akan makin rancak.

Manakan tidak, ia membuatkan pengguna tidak akan membeli telefon gaming lagi dan boleh mendapatkan telefon pintar biasa yang lebih murah.

Sumber: Android Police