Meneruskan tanggungjawab mereka sebagai penyedia utama rangkaian internet berkelajuan tinggi di Malaysia, TM memaklumkan mereka telah memasang sambungan internet berkelajuan 800Mbps di pusat kuarantin dan PPR Bubul Ria, Semporna Sabah bulan lalu.
Ia sebagai sumbangan TM dalam membantu para barisan hadapan supaya urusan kehidupan dan kerja mereka menjadi lebih mudah dan juga untuk mereka yang sedang menjalani proses kuarantin di sana.
Seperti semua sedia tahu, Sabah adalah negeri yang terjejas paling teruk menghadapi gelombang ketiga penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.
Selain di pusat kuarantin itu, TM juga turut menyediakan sambungan rangkaian internet berkelajuan 100Mbps untuk memastikan jaringan telekomunikasi tersedia di Hospital Medan ATM di daerah Tawau, Sabah.
Hospital Medan ATM ini telah mula beroperasi sepenuhnya pada 20 Oktober 2020 yang lalu dan telah menerima pesakit bagi menyokong Hospital Tawau untuk merawat kes-kes bukan COVID-19.