Perang belum selesai…
Pengumuman oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk membenarkan semula hampir semua aktiviti ekonomi dan melonggarkan sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 4 Mei ini (Isnin) terhadap rakyat Malaysia telah menggembirakan sebahagian besar rakyat.
Ini kerana, masyarakat khususnya para peniaga akan kembali dapat menjalankan aktiviti perniagaan mereka serta rakyat keseluruhannya akan dapat kembali keluar beriadah.
Walaubagaimanapun, rakyat tetap diingatkan supaya mematuhi aktiviti larangan yang telah ditetapkan kerajaan.
Pemain sektor ekonomi pula perlu mematuhi SOP ketat yang diperkenalkan sebagai usaha berterusan mengekang penularan wabak Covid-19.
Jangan seronok sangat…
Sungguhpun rakyat dibenarkan untuk keluar melakukan aktiviti seperti membeli belah dan beriadah, rakyat perlu sedar bahawa negara masih belum selesai memerangi Covid-19.
Malah jika dilihat kepada data terbaru yang dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, masih berlaku penularan covid-19 di kalangan komuniti setempat setiap hari serta kematian akibat wabak tersebut.
Sebagai contoh, lihat sahaja data terbaru KKM semalam (1 Mei 2020), seramai 69 orang telah dijangkiti Covid-19. Dari jumlah itu, sebanyak 57 kes jangkitan adalah daripada penularan menerusi komuniti setempat.
Hanya 12 kes jangkitan sahaja melibat kes import. Sekaligus mengingatkan kita bahawa, peratusan kes jangkitan tempatan di Malaysia adalah masih tinggi.
Malah jika melihat pula kepada data terbaru yang diberikan oleh KKM hari ini (2 Mei 2020), kes jangkitan Covid-19 telah kembali melebihi daripada paras 100 kes.
Daripada jumlah 105 kes terbaru yang catatkan itu, 94 kes jangkitan adalah daripada penularan dalam komuniti.
Oleh sebab itulah kita perlu sentiasa beringat bahawa wabak ini masih belum tamat. Juga tidak lupa, masih belum ada vaksin khusus yang benar-benar dapat menyembuhkan penyakit ini.
Terus bersama memerangi Covid-19
Apa yang ingin disampaikan di sini adalah, kelonggaran yang diberikan bukanlah untuk diraikan. Sebaliknya sebagai peringatan kepada kita supaya terus kekal disiplin dan mematuhi larangan yang ditetapkan kerajaan.
Sentiasa peka dengan penjarakkan sosial, menjaga kebersihan, mematuhi dan menghormati arahan pihak berkuasa dan lain-lain.
Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi platfom sosial Telegram rasminya ada menyenaraikan 9 SOP yang perlu dipatuhi semua pihak terbabit termasuk orang ramai.
1. Amalan jarak sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter.
2. Kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan hand sanitiser.
3. Penggunaan penutup hidung dan mulut.
4. Saringan kesihatan di pintu masuk premis
5. Keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan OKU.
6. Individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan.
7. Bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial.
8. Menggalakkan transaksi secara atas talian.
9. Melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan Covid-19.
Oleh itu, patuhilah SOP yang diberikan dari pihak KKM sebagai panduan kepada kita.
Jangan sampai kerajaan terpaksa terus melanjutkan lagi penguatkuasaan PKP akibat daripada tingkah laku kita yang tidak berdisiplin sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak penularan dan kes jangkitan Covid-19 dikalangan masyarakat.
Kita perlu bersama memainkan peranan dan bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan dan kesihatan seluruh rakyat Malaysia.
Ingatlah Malaysia, perang Covid-19 belum tamat.