11 Disember (esok) merupakan tarikh rasmi pelancaran PlayStation 5 untuk pasaran tempatan.

Namun jika anda berfikir untuk memilikinya dengan membeli secara terus di kedai, lupakan sahaja kerana unit konsol PS5 ini hanya untuk yang sudah buat pra-tempahan sahaja.

Demikian kenyataan yang diperingatkan oleh Sony Malaysia mengenai apa yang akan terjadi esok dengan pelancaran rasmi konsol yang dinanti-nati ini.

Pra-tempahan PS5 terdahulu telah berlangsung bermula 12 November dan menyaksikan ramai pengguna beratur di kedai-kedai untuk mendapatkan unit tempahan.

Agak mengecewakan kerana untuk pembeli yang terlepas dengan pra-tempahan, anda masih tidak boleh memiliki PS5 disebabkan konsol jualan yang terhad.

Sony turut menambah akan berkongsi dengan lebih lanjut bilakah stok baharu PS5 ini boleh dibeli pada masa akan datang.

PS5 dijual bermula RM1,869 untuk edisi digital dan juga RM2,299 untuk versi dengan cakera optik.

Sumber: Sony Malaysia