Minggu lepas, kita sudah saksikan pelancaran siri iPhone 13 dan siri Xiaomi 11T. Kini, seperkara lagi yang ditunggu-tunggu adalah peranti Google Pixel – Pixel 6 dan Pixel 6 Pro.

Google sebenarnya sudah pun memulakan kempen mempromosikan telefonnya itu dan rekaannya bukanlah sesuatu yang misteri. Terbaru, peranti Pixel 6 Pro diperlihatkan buat pertama kali.

Walaupun ia hanyalah sebuah PVT unit atau peranti yang dalam peringkat ujian (prototaip) tetapi kebiasaannya ia sama dengan yang akan dilancarkan kelak. Bercakap tentang pelancaran, nampaknya mungkin benar peranti tersebut rasmi pada pertengahan bulan hadapan.

Hal ini kerana terdapat satu iklan dari penyedia perkhidmatan telekomunikasi di Australia – Telstra yang mana mereka mengajak pengguna untuk mendaftar sekiranya berminat dengan Google Pixel 6.

Menerusinya, promosi tersebut bakal tamat sebelum 19 Oktober 2021. Ini memberikan gambaran kuat siri Pixel 6 diperkenalkan pada keesokan harinya.

Dari segi spesifikasi, dijangka ia hadir dengan skrin 6.7 inci OLED bersama lensa swafoto 12MP. Dikatakan juga lensa belakang menerima naik taraf 50MP utama, 12MP ultra lebar serta 48MP telefoto bersama zum 4x.

Sementara mungkin turut dilengkapi bateri 5000mAh dengan pengecasan 33W berwayar, pengimbas cap jari pada skrin dan sokongan ultra-wideband (UWB).

Sumber: phonearena, android police

Baca juga: