Apple kini mengumumkan Program Penyedia Khidmat Baik Pulih akan diperluaskan kepada lebih 200 negara, iaitu hampir semua negara yang menjual produk Apple.

Pada asalnya, program ini telah dilancarkan tahun 2019 dan diperluaskan untuk negara Eropah dan Kanada untuk tahun lalu. Melaluinya, ia membolehkan penyedia khidmat baik pulih mengakses semua alat ganti asli, peralatan, manual baik pulih dan diagnostik untuk menawarkan baik pulih yang selamat dan boleh dipercayai bagi produk Apple.

Sehingga kini, terdapat lebih 1500 penyedia khidmat baik pulih di seluruh Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah.

Menurut Apple, tiada kos yang dikenakan untuk menyertai Program Penyedia Khidmat Baik Pulih Apple. Bagaimanapun, penyedia khidmat baik pulih perlu mempunyai sijil juruteknik yang diperakui oleh Apple. Proses pensijilan ini adalah mudah dan percuma.

Sebagai tambahan, penyedia khidmat baik pulih juga akan diberikan akses percuma untuk latihan daripada Apple dan boleh membeli alat ganti asli, peralatan, manual baik pulih dan diagnostik yang sama seperti Apple Authorized Service Providers (AASP).

Bermula minggu ini, penyedia khidmat baik pulih daripada beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei, Vietnam dan lain-lain sudah boleh membuat permohonan untuk menyertai program berkenaan melalui pautan ini.

Sumber: Apple