Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memaklumkan bahawa mereka telah menerima laporan polis terhadap pemilik akaun Instagram Bukan_Bang_Jago.

Dalam laporan itu menyatakan bahawa pemilik akaun tersebut didapati telah menghina Yang Dipertuan Agong (YDPA), Lagu Negaraku dan Bendera Malaysia.

Suspek didakwa telah memuat naik gambar-gambar yang telah diubah suai mengandungi wajah YDPA, mengubah lirik lagu Negaraku serta menjadikan bendera Malaysia kepada simbol Komunis.

Bertindak di atas laporan itu, satu kertas siasatan telah dibuka oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan jenayah (JSJ) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Polis menegaskan bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman serta keselamatan awam.

Sumber: PDRM