Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) kini menawarkan promosi di bawah kempen ‘My30 Plus30 – Beli 1, Percuma 1’ bagi pembelian pas perjalanan tanpa had My30. Kempen ini adalah sebahagian daripada sokongan kepada kempen penggalakan pelancongan domestik yang diumumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya baru-baru ini.

Menerusi promosi yang berlangsung bermula 21 Disember 2020 hingga 31 Mac 2021, pengguna perkhidmatan tren dan bas Rapid KL boleh mendapatkan baucar pas percuma My30 bagi setiap pembelian pas yang sama. Pas percuma tersebut boleh digunakan sendiri bagi pembaharuan pada bulan berikutnya.

Bagaimanapun, pas percuma ini hanya terhad kepada 8,333 penebusan terawal dan hanya sekali penebusan bagi setiap pengguna. Tempoh penebusan pula boleh dibuat mulai 15 Januari hingga 31 Mac 2021.

My30 Plus30

Sementara itu, pemegang pas perjalanan tanpa had My30 ini boleh menggunakan perkhidmatan awam rel dan bas Rapid KL berulang kali tanpa had untuk 30 hari di Lembah Klang pada harga RM30.

Pembelian pas My30 boleh dilakukan melalui kaunter khidmat pelanggan di stesen LRT, MRT, monorel dan BRT serta hab bas terpilih iaitu Pasar Seni, KLCC, Seksyen 2 Shah Alam, Greenwood, Sri Nilam, Sunway Pyramid, Pearl Point dan Puchong Utama.

Sumber: Rapid KL