Produk cetak rompak adalah jalan singkat kepada sesetengah pengguna untuk memiliki produk kerana harga penawaran yang lebih rendah. Disebabkan itu juga, produk-produk sebegini mendapat sambutan ramai.
Namun begitu, ia secara tidak langsung merosakkan industri kerana ia bukanlah rasmi dari seseuatu pengeluar. Boleh jadi ada kerosakan, perisian tambahan atau lain-lain yang boleh menyusahkan pengguna.
Ini adalah mengapa kerajaan giat untuk membanteras kegiatan cetak rompak. Terkini, berikutan lambakan produk cetak rompak yang dijual di platform e-dagang, Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak akan teragak-agak akan menyekat platform tersebut.
SKMM menyatakan bahawa tindakan menyekat ini akan dilakukan selepas mendapat makluman dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan lain-lain yang menjual mana-mana barangan cetak rompak selepas ini akan diperhatikan oleh pihak SKMM secara rapat.
Kenyataan ini lebih ditujukan kepada penjualan filem-filem tempatan yang dicetak rompak disebabkan sebelum ini banyak filem-filem sebegitu dijual dalam harga rendah tidak masuk akal.
Walau bagaimanapun, sudah tentu pengurusan platform e-dagang akan lebih berhati-hati dan teliti untuk memastikan produk yang ditawarkan lebih mengikut panduan dari kerajaan.