2020 merupakan tahun penuh cabaran dan kedukaan menyaksikan kita terpaksa berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Dengan lebih ramai pengguna duduk dan berkurung di rumah, mereka banyak menghabiskan masa menggunakan internet.

Jadi sebelum tahun 2021 menjelma, Google telah mengeluarkan laporan carian apakah yang paling popular dicari oleh rakyat Malaysia.

Menduduki tangga pertama adalah US Elections 2020. Walaupun baru sahaja lagi berlalu pada bulan November lepas, ramai yang mahu mengikuti dan tidak terlepas dengan berita Pilihan Raya Amerika Syarikat ini.

Ia telah menyaksikan kekalahan Donald Trump melawan Joe Biden yang kemudiannya dilantik sebagai Presiden Amerika baharu. Pilihan Raya ini berlangsung pada 3 November dengan tarikh kiraan undi pada 8 November.

Di tangga kedua adalah Google Classroom. Google Classroom adalah antara aplikasi yang popular secara tiba-tiba disebabkan ramai pengguna seperti pelajar dan guru menggunakannya secara atas talian ketika PKP akibat Covid-19.

Tangga ketiga pula masih berkait dengan Covid-19 iaitu Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah wang untuk digunakan bagi memudahkan urusan sara hidup individu dan keluarga ketika berhadapan dengan pandemik ini.

Kemudiannya, carian lain yang popular adalah Bantuan Sara Hidup (BSH) dan yang paling tidak dilupakan adalah Coronavirus di tangga kelima.

Sumber: Google Trends