Bermula tahun lalu, banyak agensi dan badan kerajaan telah melaksanakan perkhidmatan secara dalam talian bagi memudahkan pengguna.

Tidak terlepas juga, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah melancarkan platform Live Chat atau perbualan secara langsung pada September tahun lepas.

Dalam kenyataan mereka hari ini, perkhidmatan yang dilancarkan itu menerima respon yang positif dimana mereka mencatat 75,433 pengguna dan purata harian 993 sehingga 31 Disember 2020.

Perkhidmatan ini adalah sebuah saluran alternatif yang boleh digunakan pengguna dengan mudah disebabkan wabak COVID-19 yang membuatkan kesukaran untuk keluar rumah.

Dengan perkhidmatan Live Chat ini, pengguna dapat berhubung secara terus dengan pegawai PTPTN untuk membuat sebarang pertanyaan atau urusan. Menariknya, perbualan ini boleh dilakukan tanpa mencipta akaun.

Perlu diingatkan, Live Chat PTPTN dibuka setiap hari Isnin sehingga Jumaat bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang.

Selain itu, PTPTN juga menasihati agar pengguna menggunakan pembayaran dalam talian untuk bayaran balik pinjaman, pembukaan akaun atau penambahan deposit SSPN.

Untuk menggunakan perkhidmatan ini, anda hanya perlu layari portal rasmi PTPTN menerusi pautan ini dan klik ikon Live Chat.

Sumber: Bernama