Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan bahawa penduduk luar bandar dan kawasan persekitaran di Paya Besar, Pahang kini telah mendapat perkhidmatan jalur lebar yang lebih baik.

Ia selepas siapnya sebuah menara baharu dan 19 stesen pemancar yang telah dinaik taraf sehingga 31 Ogos 2021 lalu.

SKMM menyatakan, dengan adanya menara baharu dan menara yang dinaik taraf, ia membolehkan lebih daripada 17 buah kawasan penempatan penduduk di kawasan itu menikmati perkhidmatan jalur lebar yang lebih baik melalui rangkaian 4G.

Antara kampung-kampung yang dimaksudkan adalah FELDA Bukit Sagu 1, Bukit Gambang Resort City, FELDA Lepar Hilir 1, FELDA Lepar Hilir 2, FELDA Lepar Hilir 3, FELDA Panching Timur, FELDA Bukit Sagu 4, Kolej Matrikulasi Pahang, Sungai Semuji, Lebuhraya Pantai Timur (LPT1), Sri Jaya Interchange, kawasan Rehat & Rawat Gambang, Kampung Gelugor, Kampung Kolek, Kampung Batu 37, Kampung Paya Bungor Kiri dan Kampung Semuji.

Di bawah pelan JENDELA, Paya Besar akan menerima sebanyak 23 menara baharu dan 67 stesen pemancar sedia adanya pula akan dinaik taraf ke rangkaian 4G.

Kerja-kerja pelaksanaan projek JENDELA di kawasan tersebut dijangka akan siap secara berperingkat bermula pada penghujung bulan Disember 2021 sehingga penghujung Mac 2022.

Sumber: SKMM