Dalam Prosedur Operasi Standad (SOP) Am terbaru yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, perkhidmatan komunikasi termasuk telekomunikasi dan internet, pos dan kurier, dan penyiaran kini tersenarai sebagai perkhidmatan yang diperlukan.

Malah turut tersenarai adalah pembangunan kandungan kreatif digital di studio termasuk penyuntingan filem.

Berbeza dari sebelum ini di mana hanya sektor pengilangan dan pembuatan,pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan juga komoditi sahaja tersenarai untuk dibenarkan beroperasi ketika PKP.

Penyenaraian ini membolehkan sektor-sektor berkaitan beroperasi semasa PKP 2.0 yang dikuatkuasakan ketika ini.

Walaubagaimanapun, sektor komunikasi dan industri kreatif melibatkan penggunaan studio masih tertakluk kepada SOP yang ditetapkan iaitu hanya 30% kehadiran dari kumpulan pengurusan sahaja dibenarkan.

Jumlah pekerja yang dibenarkan hadir bekerja pula ditentukan oleh majikan dengan memastikan amalan penjarakan fizikal dan protokol kesihatan awam dapat dilaksanakan di tempat kerja.

Sumber: MKN