Hari ini, 1 Jun 2021 bermulalah ‘era’ dimana pengguna perlu mengeluarkan wang bagi mendapatkan perkhidmatan storan awan atau cloud storage di platform Google.

Ini kerana sebelum ini setiap gambar berkualiti tinggi yang dimuat naik sebagai sandaran (backup) di Google Photos mempunyai storan tanpa had. Namun, kini ia sudah mula mengambil storan 15GB percuma yang diberikan secara lalai (default).

Baca juga – Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang Had Saiz Storan Google Bermula 1 Jun 2021

Bagi pengguna tegar yang menyimpan beribu-ribu gambar pada Google Photos, nak atau tak nak, langganan harus dilakukan.

Jika diikutkan, banyak perkhidmatan storan awan yang ditawarkan kepada pengguna. Akan tetapi, di sini kami memberikan tiga perkhidmatan yang paling biasa dan dekat dengan pengguna, iaitu Google, Apple dan Microsoft.

Oleh itu, ini adalah perbandingan harga bagi Google One, Apple iCloud dan Microsoft OneDrive.

Google One

Sama ada anda menggunakan Apple, Android, Windows mahupun macOS, perkhidmatan Google adalah sesuatu yang wajib ada. Tidak hairanlah jika Google memberikan 15GB storan percuma kepada pengguna.

Google One menawarkan langganan 100GB serendah RM8.49 sebulan atau lebih jimat jika melanggan setahun terus yang hanya RM84.99. Turut boleh digunakan bersama ahli keluarga yang lain.

Dengan Google One, secara tidak langsung GMail, Google Photos dan Google Drive menerima storan yang dibeli itu.

Bahkan, pengguna Android juga boleh membuat sandaran penting yang terdapat dalam telefon pintar.

Baca juga – Cara Semak Berapa Banyak Baki Storan Percuma Google

Apple iCloud

iCloud adalah nadi storan awan untuk individu yang selesa menggunakan ekosistem daripada Apple. Menariknya, segala dokumen atau fail yang dimuat naik ke storan awan ini disusun mengikut kategori supaya lebih mudah untuk diakses.

Tawaran dimulakan dengan harga serendah RM3.9 sebulan untuk 50GB sehinggalah RM39.9 sebulan bagi 2TB.

Baca juga – Apple Perkenal Fungsi Pindahkan Gambar Dan Video Dari iCloud Photos Ke Google Photos

Mahukan penjimatan lebih? Apple One alternatif lain bagi ini. Dalamnya terkandung Apple Music, Apple TV+, Arcade dan iCloud 50GB dengan harga RM19.9 sebulan.

Akan tetapi, storan iCloud maksimum hanyalah 200GB dan sedikit rugi jika anda mahu storan awan sahaja. Namun, ia sesuai bagi individu yang gemar menggunakan Apple Music.

Microsoft OneDrive

Microsoft OneDrive mungkin popular dalam sektor pendidikan. Namun, sekiranya anda mahukannya untuk kegunaan sendiri, ia bernilai RM9 sebulan dengan storan OneDrive sebanyak 100GB.

Selain itu, anda mempunyai pilihan lain, iaitu Microsoft 365 Personal yang mana bukan sahaja ada OneDrive 1TB tetapi turut terkandung aplikasi Office. Maka, tiada lagi kegiatan “melanun” (crack apps) bagi perisian Office.

Baca juga – “Edge Adalah Pelayar Terbaik Di Windows 10” – Microsoft

Kesimpulan

Secara keseluruhan, ketiga-tiga perkhidmatan ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Harga bagi Google One 200GB untuk setahun adalah RM119.99. Sementara iCloud 200GB untuk setahun pula RM142.8. Manakala Microsoft OneDrive jika dilihat juga adalah murah dengan RM359 setahun untuk 6TB.

Oleh itu, pilihan di tangan anda sendiri dan langganlah mengikut keperluan, bukan ikutan ramai.