Sejak pertengahan bulan Disember ini, platfom e-dagang Shopee telah menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat untuk umat islam.

Ia selepas Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik platform e-dagang, Shopee sebagai ejen kutipan zakatnya bagi memudahkan bayaran zakat dilakukan oleh umat Islam di negeri tersebut.

Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) juga telah mengumumkan Shopee sebagai medium bayaran atas talian terbaharu bagi bayaran zakat melalui laman Facebook MAIPk iaitu Zakat Perak-MAIPk.

Pelantikan medium bayaran zakat melalui Shopee adalah seiring dengan perkembangan terkini iaitu masyarakat semakin memilih transaksi bayaran dan pembelian atas talian yang lebih mudah dan cepat.

Walaubagaimanapun baru-baru ini Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) menerusi presidennya telah mempersoalkan tindakan pusat zakat yang melantik penyedia sistem e-dagang itu bagi memungut zakat umat Islam.

Ini kerana jelas Aswaja, ulama telah sepakat bahawa syarat amil atau ejen kutipan zakat mestilah daripada kalangan orang Islam.

Susulan itu Mufti Selangor, Mohd Tamyes Abdul Wahid menjelaskan bahawa pungutan zakat melalui platform e-dagang Shopee sah di sisi agama dan tidak melanggar hukum syarak.

Ini kerana, Shopee tidak dilantik sebagai amil tetapi hanya ejen kutipan bagi memudahkan urusan bayaran zakat.

Ia hanya melibatkan kaedah pembayaran di Shopee sahaja yang digunakan bagi memudahkan proses zakat kerana masyarakat kini lebih selesa menggunakan transaksi dalam talian.

Shopee menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat yang boleh dibuat menerusi dompet mudah alih ShopeePay, kad debit, perbankan dalam talian dan pembayaran secara tunai di kaunter 7-Eleven.

Mufti Selangor juga berkata, bayaran zakat melalui Shopee tidak melibatkan sebarang urusan akad yang wajib diuruskan oleh amil beragama Islam sahaja.

Malah jelasnya lagi, bayaran zakat tetap sah tanpa lafaz akad.

Sumber: Malaysiakini